Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima tawaran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menyertai pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, bermula 4 Mac depan.

Secara tidak langsung, ia bermakna skuad kendalian Stephen Van Huizen itu mempunyai tempoh hanya tiga minggu untuk membuat persiapan.

KHM menerima tawaran FIH untuk Malaysia menggantikan Kanada yang menarik diri ekoran kebimbangan terhadap soal keselamatan.

Malaysia sepatutnya beraksi di Trinidad & Tobago, hujung bulan depan.

Ini bermakna Stephen berdepan kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan kerana pemain terikat dengan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang berakhir 26 Februari ini.

Cuma, apa yang melegakannya, kelab-kelab LHM bersedia melepaskan pemain untuk menyertai kem kebangsaan setiap Isnin dan Selasa.

"Memandangkan pembabitan kami di Dhaka sudah diputuskan dan kami perlu membuat persiapan lebih awal, maka saya telah memohon kepada pengurus kelab untuk membenarkan pemain mereka menjalani sesi latihan pusat selama dua hari setiap minggu.

"Kami akan mengadakan sesi pemulihan, latihan situasi bola mati, pukulan sudut penalti dan sebagainya.

"Selepas itu, saya mempunyai enam hari untuk mengadakan persiapan penuh bagi menghadapi pusingan kedua," katanya.

Van Huizen juga berharap anak buahnya dapat mengelak kecederaan di sebalik kerancakan LHM.

"Kalau kami mahu layak ke pusingan ketiga, kami perlu pastikan dapat mara ke perlawanan akhir kerana hanya dua pasukan terbaik akan layak.

"Saya harap pemain saya tidak ditimpa kecederaan pada saat-saat akhir.

"Ketika ini, kami kehilangan Faizal Saari akibat kecederaan dan kami masih sempat mendapatkan khidmatnya."