Pengurus Selangor Pistons, Syahril Mohd Rashid, menganggap kemelut yang sedang melanda arena sepak takraw tanah air ketika ini berpunca daripada kesilapan sendiri dan kegagalan pihak atasan mencapai kata sepakat.

Syahril turut memaklumkan kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, bahawa mereka yang dilantik sepatutnya menjadikan pembangunan sepak takraw sebagai agenda utama.

Dia percaya kemelut yang melanda sepak takraw Malaysia ketika ini tidak akan berlaku seandainya semua pihak berlapang dada untuk mencapai persetujuan bersama.

Berikutan isu dalaman Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), sebilangan pihak yang terdiri daripada enam ahli gabungan kemudian membentuk Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

"Isu ini boleh diselesaikan dengan harmoni.

"Yang pertama kepentingan peribadi perlu diketepikan. Kedua, ketepikan ego demi perkara yang diperjuangkan," katanya.

Tambah bekas pemain Selangor itu, jika berlarutan ia pasti akan memberi kesan buruk terhadap industri sepak takraw negara khususnya melibatkan masa depan pemain serta skuad kebangsaan.

Syahril turut menggesa pihak yang bertindak sebagai badan induk sepak takraw kebangsaan dapat menjalankan amanah sebaik mungkin serta mampu kembalikan kegemilangan sepak takraw negara di pentas antarabangsa.

"Titik persamaan sepatutnya diperhebatkan dan perselisihan perlu dibincangkan.

"Sesiapa yang dilantik harus memikul tanggungjawab dengan baik.

"Saya bimbang pemain yang mahu dan tengah bermain ketika ini hilang semangat," katanya.