Pemain hoki negara, Marhan Abdul Jalil dan Syed Syafiq Syed Cholan, sedia memikul tanggungjawab sebagai pelari pertama dalam pertemuan kelima peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 menentang England.

Marhan memainkan peranan penting sepanjang empat perlawanan lalu, bukan sahaja bertindak sebagai pemain tengah, namun dia juga menggalas tugas penting sebagai pelari pertama.

Menentang England malam ini, Marhan sedia sekali lagi mainkan peranan itu walaupun berdepan India tempoh hari, dia mengalami kecederaan ketika menghalang pukulan sudut penalti lawan.

Baginya, dia sedia menjadikan badannya perisai dalam mempertahankan gawang pasukan Malaysia daripada dibolosi.

"Kami akan melakukan tugas pelari pertama untuk menutup ruang pengambil pukulan sudut penalti daripada menjaringkan gol," kata Marhan.

Turut bertindak sebagai pelari pertama dalam pasukan kebangsaan adalah pemain pertahanan, Syed Syafiq.

Ujarnya, biarpun peratusan gol England dalam kejohanan ini adalah menerusi gol padang, namun mereka tidak seharusnya memandang mudah kepakaran lawan dalam pukulan sudut penalti, terutama mereka memiliki beberapa pemain seperti Sam Ward dan Barry Middleton yang mampu menghadirkan ancaman.

"Cara permainan Eropah ini berbeza dengan Asia. Gaya permainan England lebih menerapkan gerakan serta melakukan hantaran, jadi setiap pemain perlu bersedia menghadapi asakan daripada lawan," kata Syed Syafiq.