Pengendali skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, menolak alasan kepenatan menjadi faktor utama kekalahan kepada juara Piala Asia, India, di peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah 2018, malam tadi.

Sebelum perlawanan bermula, Malaysia diramalkan mampu menjinakkan seteru itu selepas mencuri tumpuan dalam kemenangan bersejarah ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Argentina, kelmarin.

Namun, skrip berbeza ditampilkan yang menyaksikan India yang sebaliknya garang meratah gawang negara sehingga dibolosi lima kali.

Situasi tersebut jelas membangkitkan persoalan sama ada barisan pemain Malaysia berada dalam keadaan kepenatan susulan berhempas-pulas menundukkan Argentina sehingga gagal mengulangi prestasi serupa ketika berentap dengan India.

Bagaimanapun, Van Huizen menegaskan sebagai pemain profesional, alasan itu tidak boleh diterima kerana kekalahan India disebabkan kesilapan serta kealpaan ketika bertahan sehingga menyebabkan kubu Malaysia mudah dirobek lawan.

"Kami tidak boleh memberikan alasan. Kami akan berusaha untuk menjadi lebih konsisten, meningkatkan prestasi.

"Kekalahan ini kami terima tetapi akan cuba mengembalikan aksi terbaik seperti ketika bertemu England," kata Van Huizen.

Senada dengan jurulatih itu, barisan pemain negara juga enggan menjadikan faktor itu sehingga mereka hilang punca ketika tewas kepada India.

"Kekuatan India adalah pada serangan balas. Setiap kali pertahanan terlepas bola, mereka akan membuatkannya berakhir dengan jaringan," ujar pemain tengah, Fitri Saari.

Ketua pasukan negara, Razie Abd Rahim, pula berkata: "Tiada istilah kepenatan.

"Pemain-pemain tidak menunjukkan tanda kepenatan, cuma kami tewas pada hari ini kerana gagal memanfaatkan peluang, terutama ketika suku pertama dan kedua," tambah kapten, Razie Rahim.