MALAYSIA 2 ARGENTINA 3

Penghujung menakjubkan yang diidamkan skuad negara dalam Piala Sultan Azlan Shah 2018 bertukar khabar duka apabila tunduk 3-2 kepada Argentina di Ipoh, Perak, sebentar tadi.


"Kami bagi persembahan terbaik. Alhamdulillah, kami boleh bermain dengan Argentina, cuma nasib tidak menyebelahi kami," kata ketua pasukan Malaysia, Muhammad Razie Abdul Rahim.

Kekalahan itu menyaksikan anak buah Stephen Van Huizen menamatkan kempen di tempat keempat.

Rentetan dibelasah India dan England, The Malaysian Hockey Tigers berazam memastikan kemenangan berbentuk moral berbekalkan keyakinan menewaskan Argentina 2-1 di peringkat kumpulan, tempoh hari.

Cita-cita untuk mengharungi perlawanan dengan mudah, musnah apabila gawang negara dirobek seawal minit pertama menerusi sentuhan Juan Lopez.

Aksi terbuka menyusul, namun defisit Malaysia bertambah lima minit sebelum suku pertama berakhir.

Argentina menerusi pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat, menjadikan kedudukan 2-0.

Jaringan dinantikan Malaysia akhirnya tiba pada minit ke-24 apabila percubaan jarak jauh Joel Samuel Van Huizen memperdayakan benteng Argentina.

Tiga minit kemudian, Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang pukulan sudut penalti melalui kepakaran Faizal Saari untuk menyamakan kedudukan.

Pablo Ibara meletakkan Argentina kembali di depan pada minit ke-49, begitupun barisan negara enggan berputus asa untuk terus melancarkan serangan.

Kontroversi tercetus di penghujung pertembungan yang menyaksikan Malaysia mengikat kedudukan, namun keputusan pengadilan memihak Argentina.

"Ia bukan permulaan baik bagi kami apabila ketinggalan 1-0. Kemudian, kami cuba mengejar, sebaliknya kami ketinggalan pula 2-0.

"Bagaimanapun, kami menunjukkan kebangkitan yang baik dengan bermain lebih padat di bahagian tengah ketika menyamakan kedudukan 2-2.

"Malangnya, kami dikalahkan dengan pukulan sudut penalti. Tetapi saya bangga dengan sikap pemain pada hari ini.

"Secara keseluruhan, walaupun kami kecewa gagal ke final dan tidak dapat menduduki tempat ketiga, saya rasa kami melakukan segala-galanya di atas padang.

"Kami melakukan persediaan baik untuk Sukan Komanwel dan seterusnya Sukan Asia," kata Stephen.

Sementara itu, penjaga gol negara, Mohd Hafizuddin Othman, berkata: "Nak kata saya bermain cemerlang tidak juga. Banyak perkara lagi yang perlu saya belajar daripada pasukan-pasukan yang datang ke sini."

Terdahulu, India membalas dendam kekalahan kepada Ireland semalam untuk mengesahkan kedudukan kelima menerusi kemenangan 4-1.