Penyerang kebangsaan, Faizal Saari, akhirnya menamatkan kemarau gol selepas menjaringkan gol tunggal negara ketika pertemuan dengan India dalam aksi keempat peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah 2018.

Malaysia gagal menyaingi juara Piala Asia 2017, India, dalam pertemuan malam tadi apabila tumpas 5-1 hasil jaringan Shilanad Lakra, Sumit Kumar, Ramandeep Singh dan dua gol daripada Gurjant Singh.

Namun, daripada satu aspek, penyerang negara itu kembali menjaringkan gol selepas kemarau jaringan sejak tiga perlawanan sebelum ini.

Faizal menjaringkan gol pada minit ke-33 menerusi pukulan sudut penalti.

Ia juga merupakan gol sulung Faizal di pentas antarabangsa sejak kali terakhir meledak ketika menentang Korea Selatan, 21 Oktober lalu.

"Bagi saya, jaringan itu adalah perkara kedua. Apa yang penting adalah kemenangan pasukan serta mendapatkan tiga mata. Kami tewas di tangan India tetapi saya akan cuba teruskan sentuhan jaringan," katanya.

Dalam masa sama, Faizal turut kecewa apabila dia dan rakan sepasukan gagal mengulangi prestasi cemerlang ketika membenam Argentina kelmarin, namun menegaskan ia bukanlah penamat bagi kem Malaysia.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen itu bakal bertemu England esok dengan misi tiga mata bagi menghidupkan peluang ke pentas final.

"Apa yang saya lihat, rakan sepasukan bermain dengan baik tetapi India lebih bijak menggunakan peluang terhidang," tambahnya.