Kem hoki negara terus dihimpit isu kecederaan apabila tonggak pertahanan, Faiz Helmi Jali, disahkan mengalami kecederaan pangkal paha dan berkemungkinan khidmatnya tidak dapat digunakan dalam aksi menentang Argentina dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam ini.

Meskipun kecederaan itu tidaklah serius, namun ia tetap menghadirkan kerisauan buat benteng pertahanan negara tatkala bakal membuat perhitungan dengan gergasi hoki dunia itu.

Sumbangan Faiz dianggap penting ketika membantu Malaysia mengelak daripada dibelasah pasukan di ranking nombor satu dunia, Australia, yang berkesudahan Malaysia tewas 1-3.

Faiz merupakan pemain kedua yang ditimpa kecederaan dalam skuad negara selepas penyerang muda, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, terseliuh kaki kirinya ketika menentang Ireland dalam perlawanan
pembukaan.

"Mungkin jurulatih akan memberikan masa yang kurang untuk bermain kerana masih ada empat perlawanan.

"Fisioterapi akan memberitahu segala situasi pada hari ini. Ia terpulang kepada jurulatih," kata Faiz.

Pertemuan menentang Argentina dianggap penting kerana Malaysia mahu mencuba sekurang-kurangnya mencuri satu mata untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat kumpulan.

Biarpun ia merupakan satu misi sukar, namun barisan pemain negara percaya mereka mampu mencipta kejutan ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

"Bagi saya, Argentina yang tertekan kerana kami berada jauh dalam kedudukan jika dibandingkan dengan mereka. Kami hanya turun beraksi sementara mereka pasti tidak mahu tewas," kata Mohammad Fitri Saari yang juga pemain tengah pasukan negara.

Rekod pertemuan Malaysia lawan Argentina dalam Piala Sultan Azlan Shah

2 Jun 2012
Malaysia 0-1 Argentina

12 Mei 2008
Malaysia 0-5 Argentina

24 Jun 2006
Malaysia 2-3 Argentina