AUSTRALIA 2 ENGLAND 1

Australia dinobatkan juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali ke-10 selepas mengerah keringat membenam England 2-1 dalam aksi di Ipoh, Perak, sebentar tadi.


Aksi penentuan kejuaraan itu berlangsung sengit dengan tempoh dua suku pertama menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan.

Australia, yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2018 bulan depan, berhajat membalas dendam terhadap kekalahan kepada Great Britain dalam final edisi lalu.

Dan selepas 38 minit permainan, pasukan di ranking nombor satu dunia itu merobek gawang England menerusi Blake Govers yang menewaskan penjaga gol lawan, Harry Gibson.

Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, Lachlan Sharp menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk Australia mendahului 2-0.

Bagaimanapun, seminit selepas itu, England bangkit memberi tentangan dan merapatkan jurang hasil pukulan deras Sam Ward.

Penghujung permainan cukup mendebarkan dengan England mengasak hebat dalam misi mencari gol penyamaan, namun dipatahkan Australia.

Selain meraih gelaran juara, Australia turut menggondol Anugerah Fairplay dan Pemain Terbaik menerusi Daniel Beale.

Dalam perkembangan sama, tonggak Argentina, Gonzalo Peillat, diangkat selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol.