Persoalan siapa yang bakal memakai lilitan kapten pasukan Malaysia bagi saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 terjawab apabila pengendali negara, Stephen Van Huizen, menamakan kembali pemain pertahanan berpengalaman, Muhammad Razie Abdul Rahim, sebagai ketua pasukan.

Razie dilantik menjadi ketua pasukan setelah Mohd Sukri Mutalib diketepikan daripada skuad kebangsaan ekoran mengalami kecederaan hamstring.

Razie bukanlah asing dengan tugasan sebagai ketua pasukan kerana pernah menyandang jawatan tersebut sejak 2013 sebelum melepaskannya kerana terpaksa menghadiri kursus asas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016.

"Razie sangat berpengalaman luas di pentas antarabangsa. Lagipun, sebelum Sukri Mutalib, dia adalah ketua pasukan kebangsaan dan cuma kehilangan jawatannya susulan perlu menjalani kursus latihan asas polis," kata Van Huizen.

Berbekalkan pengalaman luas di pentas antarabangsa dan kepimpinan yang ada pada Razie, jurulatih itu percaya dia mampu untuk memainkan peranan penting itu dalam membantu pasukan menghadapi lawan dalam kempen PSAS 2018.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, lima lagi pasukan yang turut bersaing dalam PSAS 2018 adalah England, Australia, Ireland, India dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina.

"Kami sudah lama tidak berjumpa dengan Ireland, kali terakhir pertemuan kami adalah pada 2015 dalam Liga Hoki Dunia.

"Peluang perlawanan esok masih 50-50. Kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan terkini mereka," kata Razie pula.

Perlawanan pembukaan skuad negara adalah berdepan pasukan di tangga ke-10 dunia, Ireland, esok.