Tiga gol disumbangkan ketua pasukan, Razie Ab Rahim, menjulang namanya sebagai pemain terbaik perlawanan ketika Malaysia meratah Ireland 4-1 dalam aksi pembukaan skuad negara dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2018, malam tadi.

Permulaan sempurna buat Razie, bukan sahaja dapat memakai semula lilitan kapten, dia turut menjaringkan hatrik dengan salah satu gol tersebut menerusi jaringan padang.

Lebih manis, dia turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Memang saya tidak jangka dapat menjaringkan gol padang hari ini (malam tadi) disebabkan saya selalu bermain bertahan.

"Apabila saya mendapat peluang itu, saya hanya yakin saya mampu menyudahkannya," katanya.

Satu lagi gol skuad negara disumbangkan oleh pemain berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Kemenangan itu dianggap penting bagi menaikkan moral barisan pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya, berdepan pasukan di ranking nombor satu dunia, Australia.

"Ia bagus memulakan kempen dengan baik tetapi kita tahu ini adalah perlawanan pertama kejohanan dan esok (hari ini) kami akan menentang pasukan nombor satu dunia (Australia).

"Sangat penting, apa yang kami berlatih dapat digunakan dalam perlawanan hari ini," ujar jurulatih, Stephen Van Huizen.

Buat Ireland, jurulatihnya, Craig Fulton, menyifatkan anak buahnya terlalu mengikut rentak lawan sehingga gagal mengikut strategi asal yang direncanakan.

"Kami tidak dapat mengawal dengan baik dan ia menghukum kami.

"Tetapi dalam suku ketiga, kami bangkit dengan baik dan dibolosi lagi dalam suku keempat.

"Namun, kerosakan sebenar adalah dalam separuh masa pertama," kata Fulton.