Skuad hoki negara menempah laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 apabila dikejutkan India 5-1 dalam aksi keempat peringkat kumpulan, malam tadi.

Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk memintas Argentina yang sebelum itu diikat England 1-1 dalam aksi pada sebelah petang.

Bagaimanapun, anak buah Stephen Van Huizen gagal memanfaatkan peluang tersebut, sebaliknya mereka dikejutkan dengan strategi pasukan lawan hingga dibelasah 5-1.

Lebih mengecewakan, Malaysia sebenarnya mempunyai deretan peluang dan memperoleh sekurang-kurangnya lima pukulan sudut penalti, namun ia gagal disempurnakan dengan baik oleh barisan pemain negara.

"Jika kami menang dalam perlawanan ini, kami mungkin berpeluang ke final, tetapi gagal melakukannya. Malaysia gagal mengulangi rentak persembahan seperti ketika berdepan Argentina," kata Van Huizen.

Dengan Australia sudah pasti menempah slot ke perlawanan akhir apabila selesa mengutip 12 mata daripada empat perlawanan, perebutan kini semakin terbuka untuk empat lagi pasukan membabitkan Malaysia, Argentina, England dan India.

Malaysia akan berdepan England esok dan ia bakal menjadi misi wajib menang sementaara mengharapkan Australia mampu menumbangkan Argentina.

"Untuk perlawanan berdepan England, kami perlu menilai gaya permainan mereka dan cuba untuk meraih kemenangan," jelas kapten pasukan, Razie Abdul Rahim.

Sementara itu, di kem India, mereka ternyata bukan sahaja mengejutkan Malaysia, malah berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan PSAS 2018.

Kemenangan ini juga membantu skuad yang diberika gelaran "Bharat Army" ini untuk menghidupkan kembali peluang mereka mara ke perlawanan akhir pada Sabtu ini.

India selepas ini akan berdepan dengan Ireland, pasukan yang kini menghuni tangga tercorot kumpulan, dengan masih tidak mengutip sebarang mata.

"Ini merupakan satu perlawanan yang sangat baik dan kami berjaya menjaringkan banyak gol," kata jurulatih India, Sjord Marijne.

"Kemenangan yang sangat berharga buat India dan saya berjaya mencetak gol dalam perlawanan ini," kata pemain India, Sumit Kumar.