Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, mengesahkan program latihan jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, di Jerman sudah dibatalkan.

Zainal berkata, pelan untuk memenuhi permintaan pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 itu sedang dirangka.

Jelasnya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini berusaha mengatur program latihan baru buat Irfan di Australia.

Perubahan itu dibuat susulan bantahan disuarakan atlet kelahiran Negeri Sembilan itu terhadap program latihan di Jerman yang dianggap tidak sesuai ekoran perubahan cuaca.

Masalah itu mendapat perhatian Zainal sebelum pihaknya kini berusaha mengenal pasti venue latihan yang sesuai di Australia.

"Irfan dah jurulatihnya sendiri telah menyatakan bantahan mengenai latihan di Jerman," katanya. "Oleh itu, mereka telah menghantar satu cadangan untuk membenarkannya berlatih di Australia.

"Jadi, kami berbalik kepada pelan asal, iaitu berlatih di Australia bersama-sama jurulatihnya. Bukannya dia pergi seorang diri tanpa sebarang pengawasan."

Ketika ini, atlet lompat tinggi, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei, sedang berlatih di Sydney sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

Sehubungan itu, Zainal tidak menolak untuk Irfan menyertai kedua-dua atlet berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Zainal mengesahkan KOM berminat untuk mendapatkan semula khidmat bekas jurulatih lompat tinggi negara, Jorge Luis Alfaro Quinunes, dari Cuba.

"Kami perlu mendapatkan seorang jurulatih yang dapat membantu, untuk lebih fokus kepada atlet-atlet, khasnya atlet lompat tinggi."