Nauraj Singh kini di landasan tepat untuk merampas kembali gelaran jaguh utama lompat tinggi negara apabila melakukan catatan terbaik musim ini, 2.26 meter, ketika meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia Garbsen, Jerman, kurang 1 sentimeter berbanding Lee Hup Wei.

Catatan 2.26m jelas cukup bermakna buat Nauraj tatkala ia merupakan rekod terbaik dalam tempoh dua tahun selepas memecah rekod kebangsaan, 2.3m, sewaktu Terbuka Singapura 2017.

Prestasinya merosot sejak tahun lalu sehingga tenggelam dengan kejaguhan Hup Wei tetapi pengorbanan juara Sukan SEA itu yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri ke Jerman mula membuahkan hasil.

"Sekarang ini saya cuba mendapatkan 4cm lagi dalam Kejohanan Dunia, jadi ia meletakkan saya dalam kedudukan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Had kelayakan Kejohanan Dunia adalah 2.3m sementara Sukan Olimpik Tokyo 2020 meletakkan 2.33m sebagai penanda aras.

Sementara itu, Hup Wei masih mempunyai satu lagi kejohanan untuk melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia di Doha, Qatar.

"Kalau ikut sistem mata, ranking saya sudah naik daripada 32 kepada 20. Saya rasa ada peluang. Kalau boleh, saya mahu beraksi dalam satu kejohanan lagi, jadi diharapkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menghantar penyertaan," ujar Hup Wei.