Atlet karate negara, S. Prem Kumar, enggan terus dibuai kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lalu.

Sebaliknya, dia kini memahat misi menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Filipina 2019.

"Apa yang utama adalah saya mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Selepas itu, saya akan menumpukan pula kepada Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Dengan kehadiran jurulatih baru, saya berharap segalanya akan berjalan lancar dan dapat memberikan persembahan terbaik dalam dua temasya itu," katanya.

Dalam masa sama, Prem tidak menolak masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan ketua jurulatih baru, Ali Reza Souleymani.

"Setakat ini, kami memahami apa yang mahu disampaikan beliau.

"Bagaimanapun, kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan baru.

"Saya meletakkan tempoh selewat-lewatnya tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan itu," tambahnya.