Juara dunia silat 2016, Siti Rahmah Mohd Nasir dan Razak Ghazali, tidak akan menyertai Kejohanan Pra-Sukan SEA 2017 berikutan kecederaan yang dialami dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember lalu.

Siti Rahmah yang bergelar juara dunia dengan melakukannya secara hatrik, mengalami kecederaan di ibu jari kaki kiri sewaktu aksi final di Bali.

Bagaimanapun, Siti Rahmah menyifatkan ia tidak serius dan kini beransur pulih.

Bukannya tidak mampu untuk beraksi dalam Pra-Sukan SEA nanti, cuma Rahmah enggan mengambil sebarang risiko terlalu awal yang boleh mengakibatkan kecederaannya bertambah mudarat.

"Saya masih mengikuti latihan secara sepenuh masa bersama pasukan negara.

"Cuma saya tidak akan turut serta dalam kejohanan kerana mahu pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Selepas ini, pasukan negara akan terlibat dalam Kejohanan Terbuka Belgium dan Uzbekistan.

"Dari situ, saya akan dapatkan semula rentak sebenar saya," ujar pesilat Kelas 'E' Puteri itu.

Juara dunia baru Kelas 'D' Putra, Razak Ghazali, pula berdepan kecederaan bahu kanan dan memerlukan masa bagi memastikan dirinya benar-benar pulih.

Dia mahu mempersiapkan diri sepenuhnya untuk beraksi di Uzbekistan dan Belgium, bulan depan.

"Setakat ini, setiap hari saya menjalani fisioterapi di ISN (Institut Sukan Negara).

"Doktor menasihati saya agar berehat selama empat minggu dan tidak boleh menjalani sebarang latihan di bahagian bahu kanan saya.

"Oleh itu, saya akan terus menjalani sesi fisioterapi sehinggalah saya dibenarkan untuk kembali beraksi oleh doktor," katanya.