MALAYSIA 11 THAILAND 7

Skuad polo air lelaki negara melakar kemenangan berharga ke atas Thailand 11-7 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Selepas meraih kemenangan 8-7 ke atas Filipina, momentum positif yang dimiliki Malaysia menjadi bekalan untuk aksi ketiga berdepan Thailand.

Malaysia dan Thailand bersaing sengit pada suku pertama apabila terikat 4-4.

Pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh Voon Yong Hui memperkemaskan permainan dalam suku kedua apabila berjaya menjaringkan tiga lagi gol untuk mendahului separuh masa pertama 7-5.

Thailand gagal untuk mengikut rentak permainan Malaysia apabila sekadar menjaringkan dua gol dalam suku ketiga dan keempat berbanding Malaysia yang menambah empat lagi gol untuk memastikan kemenangan 11-7 ke atas pemenang pingat gangsa edisi dua tahun lalu itu.

Pemain negara, Fam Jia Yi, menyifatkan keupayaan pasukannya mempamerkan aksi terbaik dan kurang melakukan kesilapan adalah faktor mereka berjaya meraih kemenangan.

"Hari ini kami bermain agak baik, kurang melakukan kesilapan," kata Jia Yi.

"Tujuh gol yang dihasilkan pasukan pada separuh masa pertama sangat penting buat kami.

"Persiapan dan pendedahan di China dan Singapura benar-benar membantu kami. Selepas ini, kami akan bertemu penyandang juara, Singapura, kami akan cuba buat yang terbaik kerana apa sahaja boleh berlaku."