Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) merayu agar sukan itu terus dikekalkan dalam Program Podium selepas kejayaan mereka membutirkan satu pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Presiden PLBM, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, mendapat perkhabaran bahawa Program Podium berkemungkinan hanya memberi tumpuan kepada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik sahaja selepas ini.

Situasi itu jelas satu kerugian kepada skuad boling padang yang hanya berpeluang beraksi dalam Sukan Komanwel sebagai pentas tertinggi dan secara tidak langsung tidak lagi menikmati kemudahan di bawah Program Podium.

Bagi Wan Nawawi, ia sesuatu yang tidak adil selepas atlet boling padang beraksi cemerlang di Gold Coast, April lalu.

"Tujuan Program Podium ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan Malaysia di mata dunia. Jadi, dalam sukan terdapat beberapa kategori seperti Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik.

"Jadi, program ini mahu diterapkan dalam kategori yang mana? Jika Olimpik, letakkan sasaran supaya atlet kebangsaan meletakkan Malaysia di persada dunia. Sekurang-kurangnya, boling padang sudah berada pada tahap itu," ujar Wan Nawawi ketika ditemui pada majlis Hari Raya PLBM bersama atlet negara di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan akan terus memegang jawatan presiden biarpun sebelum ini diura-urakan akan melepaskan tanggungjawab berkenaan selepas Sukan Komanwel.

"Setakat ini, belum ada kesulitan buat saya untuk meneruskan tugas-tugas sebagai presiden PLBM. Tiada sebarang isu," katanya lagi.