Phoenix Suns kini mendahului Los Angeles Clippers 3-1 dalam final Persidangan Barat, playoff NBA selepas memperoleh kemenangan tipis 84-80 hari ini.

DeAndre Ayton mempamerkan aksi dominan dalam pertembungan itu dengan 19 mata, 22 rebound dan empat hadangan, di mana Suns tidak pernah ketinggalan sepanjang perlawanan itu tetapi perlu mengekang kebangkitan Clippers pada lewat permainan.

Devin Booker, yang menanggalkan topeng pelindung mukanya dalam separuh masa kedua, mengetuai jaringan Phoenix dengan 28 mata tetapi terpaksa dikeluarkan pada 1.05 minit terakhir untuk digantikan dengan guard veteran, Chris Paul (18 mata dan tujuh bantuan) sepanjang baki perlawanan.

Clippers, yang sekali lagi turun tanpa pemain bintang yang cedera, Kawhi Leonard, hanya ketinggalan satu mata dalam suku terakhir, termasuk ketika perlawanan berbaki 13.2 saat, tetapi tidak pernah berada di depan.

Keputusan itu bermakna Phoenix hanya dibezakan dengan satu lagi kemenangan untuk layak ke Final NBA buat kali pertama sejak 1993.

Ia juga akan menjadi penampilan pertama buat All-Star 11 kali, Paul, dalam final kejohanan itu.