Bintang Philadelphia 76ers, Ben Simmons, berkata bahawa dia 'hanya mahu menang' dan bukannya untuk membuktikan kepada sesiapa yang meraguinya susulan mempamerkan aksi agresif ketika pasukan pilihan utama Persidangan Timur itu menewaskan Washington Wizards sebentar tadi.

Percubaan dan mata yang diraih Simmons menjadi perhatian sejak dia menyertai liga itu tetapi pemain All-Star NBA berkenaan menunjukkan pengaruhnya ketika 76ers menewaskan Wizards 120-95 dalam perlawanan kedua siri pusingan pertama itu.

Dalam tempoh 29 minit, Simmons telah merekodkan 22 mata -- termasuk 12 dalam suku pertama -- menerusi 11 daripada 15 percubaannya selain turut melakukan sembilan rebound, lapan bantuan, dua pintasan dan satu hadangan buat Philadelphia.

Ia merupakan kali keempat dia merekodkan lebih daripada 20 mata dalam satu perlawanan playoff sejak penampilan pertamanya pada 2019.

"Saya bukannya mencuba untuk meyakinkan sesiapa di Philly," kata Simmons ketika 76ers kini di laluan tepat untuk melepasi siri pusingan pertama.

"Saya rasa agak sukar untuk melakukan 15 bantuan dan 15 rebound dalam NBA, dalam playoff.

"Saya fikir ia agak hebat. Dan kami menang.

"Apa yang anda semua mahukan? Anda mahu kemenangan?

"Bagi saya, saya berada di sini untuk menang dan saya melakukan apa yang saya perlu lakukan untuk membantu pasukan ini menang walau apa jua caranya.

"Saya bukannya mahu mencuba untuk membuktikan sesiapa silap atau sesuatu seperti itu.

"Saya mencuba untuk melakukan tugas saya untuk menang. Saya mahu memenangi kejohanan ini," katanya.