Donovan Mitchel mempamerkan satu lagi aksi gemilangnya ketika membantu Utah Jazz menewaskan Los Angeles Clippers untuk kini mendahului 2-0 dalam siri separuh akhir Persidangan Barat.

Selepas menyumbangkan 45 mata dalam perlawanan pertama, pemain All-Star itu menambah 37 mata lagi ketika membantu Jazz menewaskan Clippers 117-111 dalam perlawanan kedua Playoff NBA hari ini.

Mitchell turut dibantu seorang lagi pemain All Star -- yang turut dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik Tahunan NBA -- Rudy Gobert, yang menyumbangkan 13 mata, 20 rebound, tiga halangan dan dua pintasan di Utah.

Mitchell turut merekodkan purata 28-4 mata bagi setiap perlawanan playoff sepanjang kariernya, hanya ketinggalan di belakang LeBron James (28.7), Jerry West (29.1), Kevin Durant (29.2), Allen Iverson (29.7) dan Michael Jordan (33.4).

Jazz juga melebarkan rekod kemenangan mereka kepada enam perlawanan berturut-turut -- rekod tanpa kalah paling panjang pasukan itu dalam saingan playoff sejak memperoleh tujuh kemenangan berturut-turut pada 1998.