Donovan Mitchell mengetuai kemaraan pasukan pilihan utama, Utah Jazz, ke pusingan kedua Persidangan Barat manakala Philadelphia 76ers menepati ramalan selaku pasukan utama Persidangan Timur apabila turut melangkah ke separuh akhir.

Mitchell mendaftarkan 26 daripada 30 matanya dalam babak pertama bagi memacu Jazz menang 126-110 ke atas Memphis Grizzlies dan mengesahkan kemaraan menerusi kelebihan 4-1 dalam siri playoff itu.

Pemain All Star itu turut melakukan 10 bantuan dan enam rebound bagi mengikuti jejak Deron Williams dan John Stockton sebagai pemain Utah yang pernah merekodkan 30 mata atau lebih dan 10 bantuan dalam satu perlawanan playoff.

Kejayaan itu turut dipacu aksi cemerlang Jordan Clarkson (24 mata) dan Rudy Gobert (23 mata dan 15 rebound) untuk Jazz menantikan pemenang sama ada Los Angeles Clippers atau Dallas Mavericks di peringkat seterusnya.

Sementara itu, walaupun turun tanpa MVP, Joel Embiid, kerana kecederaan koyak meniscus, 76ers masih mampu melangkah ke pusingan kedua hasil kemenangan 129-112 ke atas Washington Wizards, sekali gus mara ke separuh akhir dengan kelebihan 4-1.

Ben Simmons menjadi penggerak utama kemenangan 76ers di Philadelphia hari ini menerusi 'triple-double' 19 mata, 11 bantuan dan 10 rebound.

Seterusnya, 76ers akan berdepan Atlanta Hawks, yang mengesahkan kemaraan menerusi kelebihan 4-1 ke atas New York Knicks, yang disahkan menerusi kemenangan terbaru 103-89.