Giannis Antetokounmpo mahu kekal percaya dengan peluang Milwaukee Bucks walaupun pasukan itu kini ketinggalan 2-0 kepada Brooklyn Nets dalam separuh akhir Persidangan Timur.

Antetokounmpo dan Bucks jelas tidak dapat menandingi Nets, yang turun tanpa James Harden tetapi tidak menunjukkan sebarang belas kasihan untuk menang 125-86, dalam perlawanan kedua siri pusingan kedua playoff NBA hari ini.

Bucks, selaku pasukan pilihan ketiga, tewas dengan jurang 39 mata dalam perlawanan di Brooklyn itu, di mana MVP, Antetokounmpo, hanya mampu menamatkannya dengan 18 mata, lapan jaringan daripada 15 percubaan selain 11 rebound.

Bucks akan kembali ke Milwaukee bagi perlawanan ketiga Jumaat ini tetapi pemain bintang, Antetokounmpo, masih bersemangat untuk meraih kejuaran pertama mereka sejak 1971.

"Ia mudah," kata Antetokounmpo apabila ditanya bagaimana untuk mengelakkan rakan sepasukannya daripada hilang keyakinan. "Itulah yang akan saya lakukan.

"(keyakinan) saya tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Selepas siri dengan Miami, kami menang 4-0 dan menjelang siri ini, keyakinan saya tidak terlalu tinggi.

"Kini kami ketinggalan 2-0, keyakinan saya tidak terlalu rendah. Saya hanya meneruskan apa yang sedang saya lakukan, terus percaya dengan usaha saya, terus percaya dengan rakan sepasukan saya, terus percaya dengan pasukan ini, terus percaya dengan sikap yang kami bina sepanjang tahun ini dan harap-harap kami akan menang dalam perlawanan ketiga nanti," katanya.