Milwaukee Bucks semakin menghampiri separuh akhir Persidangan Timur playoff NBA tetapi Giannis Antetokounmpo memberikan amaran bahawa "tugas kami masih belum selesai" ke atas Miami Heat.

Milwaukee hanya dipisahkan satu perlawanan untuk menyingkirkan juara bertahan Persidangan Timur, Miami, dalam siri pusingan pertama itu selepas meraih kemenangan 113-84 dalam perlawanan ketiga hari ini.

Bintang Bucks, Antetokounmpo, mendaftarkan 17 mata, 17 rebound dan lima bantuan manakala Khris Middleton (rekod tertinggi 22 mata) dan Jrue Holiday (19 mata dan 12 bantuan) turut menjadi faktor penyumbang untuk mereka kini mendahului 3-0.

Bucks -- yang disingkirkan Heat 4-1 dalam separuh akhir musim lalu -- boleh mendapatkan kemenangan bersih esok tetapi MVP, Antetokounmpo, tidak mahu ada sikap sambil lewa.

"Kami akan kekal fokus," katanya kepada wartawan ketika Bucks menyasarkan kejuaraan pertama mereka sejak 1971.

"Tugas kami belum selesai sekadar ini.

"Dua perlawanan terakhir tidak mudah. Memang kami mendahului 30 nata tetapi ia tidak mudah.

"Saya boleh katakan seperti ini, jika kami terus melakukan tugas kami, saya tidak terkejut seandainya kami dapat memenangi sesuatu perlawanan kerana apabila kami fokus kepada diri kami, bermain bersama, bergembira dan menjadi tabah, perkara baik akan berlaku kepada kami," katanya.