Bekas pertahanan hoki negara, Baljit Singh, sedia kembali mengerah kudrat buat skuad kebangsaan sekiranya dipanggil beraksi bersama pasukan kendalian Roelant Oltmans.

Pemain berumur 32 tahun itu tersisih daripada The Malaysian Hockey Tigers selama dua setengah tahun selepas kali terakhir bersama barisan negara pada 2016.

Bagaimanapun, Baljit memberi jaminan untuk menyerlahkan komitmen tinggi dan kesediaan untuk beraksi di pentas antarabangsa selain menggunakan pengalamannya untuk membantu skuad negara jika kembali mendapat panggilan.

Di samping menjalani latihan sendiri, Baljit mengakui memerlukan bekalan seperti pemain kebangsaan yang menjalani latihan kecergasan yang ditetapkan oleh jurulatih.

"Sudah lama saya meninggalkan skuad kebangsaan dan kini saya terpaksa mengasahnya semula.

"Mereka tahu saya pemain yang komited sejak 10 tahun terakhir serta mengenali sikap saya.

"Justeru, saya boleh berikan yang terbaik dan semua orang tahu tentang hal itu," katanya.

Baljit juga optimis bahawa skuad Malaysia mempunyai peluang realistik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi tiket play-off kelayakan.

"Saya berharap skuad negara dapat menyerap taktikal baru yang diterap Oltmans, seterusnya layak ke Sukan Olimpik," katanya.