Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik kesediaan ketua jurulatih negara, John Beasley untuk menutup pusat latihan di Melbourne, Australia untuk berpindah ke Nilai, Negeri Sembilan, awal tahun depan.

Tindakan itu akan beri banyak keuntungan kepada Malaysia sama ada daripada segi penjimatan kos atau ilmu dapat dikongsi dengan jurulatih tempatan.

"Ia merupakan salah satu usaha yang baik. Ia dapat membantu dalam penjimatan kos dengan latihan yang dapat dijalankan secara tetap di Nilai. Saya berasakan kontraknya perlu dilanjutkan kerana hasil dan perancangan yang mampu meningkatkan lagi mutu sukan berbasikal di Malaysia," kata Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashkari Abu Noor.

Dalam perkembangan lain, Velodrom Azizulhasni Awang dijangka siap Disember ini berbanding pelan awal, April 2022.

Perkembangan itu bukti usaha Kerajaan Negeri Terengganu mengiktiraf pencapaian The Pocketrocketman bergelar juara dunia 2017 selain pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dan perak di Tokyo 2020.

Ia akan jadi pusat melahirkan lebih ramai Azizulhasni sekali gus menguasai acara basikal trek sekurang-kurangnya di benua Asia.