Skuad ping pong lelaki negara mempunyai misi wajib menang ke atas Filipina dalam perlawanan terakhir acara berpasukan peringkat kumpulan selepas tumpas kepada Singapura 3-0 dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Malaysia membariskan Ashraf Haiqal sebagai pemain perseorangan pertama dan sekalipun dia memberikan tentangan sengit, ia tidak mampu untuk menyekat ketangkasan lawan dari Singapura, Gao Ning. Ashraf tewas 4-11, 11-6, 4-11, 12-11 dan 6-11.

Perseorangan negara seterusnya, Leong Chee Feng, juga tidak berupaya menandingi lawan apabila tumpas 10-12, 2-11, 9-11 kepada Clarence Chew.

Ashraf kemudian turun semula ke gelanggang untuk bergandingan dengan Shakirin Ibrahim dalam acara beregu lelaki tetapi lawan mereka, Pang Xue Jie dan Gao Ning, lebih ampuh untuk mengesahkan slot Singapura dalam separuh akhir dengan keputusan 8-11, 5-11, 5-11.

"Pengalaman memisahkan Malaysia dan Singapura, teknikal yang dipamerkan jauh lebih tinggi," kata Ashraf.

Malaysia perlu menang ke atas Filipina dalam perlawanan pada sebelah petang jika berhasrat untuk mara ke perlawanan separuh akhir.

Malaysia sebelum ini sudah pun mencatat dua kemenangan, masing-masing ke atas Laos dan Myanmar.

"Sasaran kami adalah mahu menang perlawanan pada petang ini untuk mara ke separuh akhir. Kami berharap strategi yang telah disediakan akan membuahkan hasil," tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.