Pemain ping pong remaja negara, Danny Ng, bertekad untuk memanfaatkan Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Semarang, Indonesia, 17-25 Julai depan sebagai pentas untuk membuktikan potensinya sebagai pemain utama negara.

Dia yang mula menceburi sukan ping pong seawal usia lapan tahun, berkeyakinan untuk memberikan saingan dalam kejohanan berkenaan bagi mencipta nama di pentas antarabangsa.

Namun, pemain kelahiran Selangor itu menyedari cabaran lebih sukar akan menantinya apabila melangkah ke peringkat senior selepas ini.

Ketika edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, dia sekadar meraih pingat gangsa, namun menyasarkan untuk meraih pingat emas dalam edisi kali ini.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk menjadi pemain dalam kelompok lima terbaik Malaysia.

"Saya rasa saya mempunyai potensi dalam sukan ini dan jurulatih saya juga amat mengambil berat tentang saya.

"Saya perlu melakukan sesuatu dan berlatih dengan lebih kuat setiap hari," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Lean Kee Fong, turut berkeyakinan generasi baru yang akan ke Indonesia itu mampu untuk membutirkan pingat.

"Mereka mampu ke final acara berpasukan dan meraih sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam acara beregu dan perseorangan.

"Itulah sasaran dan KPI (petunjuk prestasi utama) saya tahun ini," katanya