Isu pengguguran dua pemain ping pong dalam Program Podium daripada senarai ke Sukan SEA Filipina selesai selepas dua pemain itu kembali diserap ke dalam senarai kontinjen negara apabila turut akur dengan syarat yang diletakkan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

Syarat yang diletakkan badan induk itu bagi menyenaraikan semula harapan pingat skuad ping pong negara, Ho Ying dan Karen Lyne, adalah harus meminta maaf kepada TTAM selain menyertai semula latihan skuad kebangsaan.

Tidak ingin memanjangkan perkara tersebut, Karen dan Ho Ying menurut terma TTAM supaya kemelut ini tidak mengganggu persiapan dan keharmonian skuad negara.

"Kami akan menandatangani surat memohon maaf dan tidak melanjutkan perkara ini lagi," kata Karen.

Naib Presiden TTAM, Dr Chin Kuen Liang, boleh bernafas lega dan terus memberi fokus terhadap memastikan skuad ping pong negara mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang Sukan SEA Filipina 2019, akhir bulan depan.

"Ho Ying dan Karen telah memohon maaf kepada TTAM dan memulakan latihan bersama skuad negara. Mereka akan beraksi dalam acara beregu dalam Sukan SEA November ini," kata Kuen Liang.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Ho Ying-Karen, menjadi taruhan terbaik Malaysia meraih sebutir pingat dalam acara beregu wanita di Manila nanti.