UniKL 4 MAYBANK 1

Juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), meneruskan rentak kecemerlangan dalam saingan Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2019 selepas menewaskan Maybank 4-1 dalam separuh akhir pertama di Stadium Hoki Tun Razak, sebentar tadi.


Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Arul Selvaraj itu membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua Khamis ini selain menghidupkan peluang mengintai kejuaraan kedua mereka musim ini.

UniKL, yang turun dengan rekod bersih ke atas Maybank selepas meraih kemenangan 5-1, diikuti 2-1 dalam saingan liga, mendahului 1-0 seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti pemain import dari Belanda, Martijn Peter Havenga.

Maybank bangkit memperkemaskan permainan dalam usaha memburu gol penyamaan, namun UniKL cemerlang di bahagian pertahanan apabila mengekalkan disiplin pertahanan tinggi untuk mematahkan serangan pasukan pelawat sebelum meledak dua gol dalam tempoh dua minit pada awal suku kedua perlawanan.

Pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim, meledak gol kedua UniKL selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-20 sebelum Mohamad Ashran Hamsani menjaringkan gol padang seminit kemudian.

UniKL melengkapkan kemenangan dengan gol keempat menerusi jaringan padang Robert Huib Kemperman pada minit ke-58, namun hasrat mencatat keputusan tanpa bolos musnah apabila pukulan sudut penalti Muhammad Haziq Shamsul pada minit ke-60 memastikan Maybank pulang dengan gol sagu hati.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil, enggan terlalu berpuas hati dengan kejayaan itu dan menggesa rakan sepasukan untuk menumpukan fokus terhadap aksi kedua.

“Kami bermain dengan baik hari ini, cuma kami lepaskan satu gol di penghujung perlawanan...itu sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi kerana kami mahu momentum di awal permainan diteruskan hingga ke wisel penamat.

"Maybank mungkin turun dengan kekuatan maksimum mereka dalam aksi kedua nanti untuk mencari gol dan memburu kemenangan. Jadi, kami perlu kaji perlawanan hari ini dan tidak boleh sambil lewa nanti,” katanya.

-- BERNAMA