Tenaga Nasional Berhad (TNB) hilang khidmat penjaga gol utama, Hairi Abdul Rahman, ekoran kecederaan lutut menjelang separuh akhir kedua Piala TNB menentang juara bertahan, UniKL, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Pasukan itu terpaksa bergantung kepada penjaga gol berusia 20 tahun, Sharul Azmi Che Saupi , sepanjang 60 minit separuh akhir kedua selepas Hairi mengalami kecederaan lutut yang turut dikhuatiri menjejaskan peluangnya bersama skuad kebangsaan.

Ia cukup mengecewakan apabila dia terlepas aksi penting itu, namun Hairi yakin kubu TNB mampu menghalang asakan jentera serangan UniKL, yang mendahului 1-0 dalam perlawanan pertama.

Hairi berkata kepada Nadi Arena: "Saya berdukacita dengan apa yang berlaku kerana menjelang saingan liga, saya telah melakukan persiapan rapi untuk sentiasa mempamerkan prestasi yang baik tetapi apa yang berlaku ini memang tidak dapat dibayangkan.

"Saya tidak pernah terfikir akan mengalami kecederaan seperti ini.

"Untuk tidak beraksi di peringkat separuh akhir amat pahit untuk ditelan tetapi saya yakin pasukan saya akan melakukan yang terbaik," katanya.

UniKL pula akan hadir dengan kekuatan penuh dalam misi mencipta kejuaraan 'treble' selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Ia juga peluang keemasan mereka untuk mengelakkan perlawanan ke penentuan penalti shootout, sekali gus muncul pasukan pertama mencatat 'double-treble' dalam saingan hoki Malaysia.

Pertahanan UniKL, Razie Abdul Rahim, berkata: "Setiap perlawanan amat penting untuk pasukan kami. Perlawanan separuh akhir kedua ini sememangnya satu perlawanan berbeza dan kelebihan 1-0 bukanlah jaminan yang selesa untuk kami ke final.

"Kami menjangkakan perlawanan kali ini akan menjadi lebih sengit berbanding separuh akhir pertama."