Pakar pukulan sudut penalti, Najmi Farizal Jazlan, akan menjadi harapan Maybank untuk melakar kebangkitan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala TNB menentang Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang esok.

Setakat ini, pemain pertahanan itu sudah mengumpulkan enam gol dan kesemuanya hasil gerakan pukulan sudut penalti.

Maybank sudah mengkaji corak pelari pertama THT yang menggagalkan enam pukulan sudut penalti mereka dalam separuh akhir pertama, di mana lawan kendalian K. Rajan itu kini mendahului 2-0.

Masalah utama Maybank ketika ini ialah kehilangan khidmat enam pemain ekoran kecederaan.

Najmi Farizal berkata kepada Nadi Arena: "Kami akan bermatian-matian dan kami akan mencuba untuk mendapatkan gol awal.

"Secara peribadi, saya akan menggunakan pukulan sudut penalti dengan sebaik mungkin dan memastikan gol.

"Kami akan memberikan 110 peratus bagi perlawanan esok," katanya.