UniKL selangkah lagi untuk muncul sebagai pasukan pertama melakar kejayaan 'double-treble' dalam sejarah penganjuran Liga Hoki Malaysia (LHM).

Skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan TNB 3-1 untuk layak ke final Piala TNB 2021 dengan agregat 4-1, malam tadi.

TNB terlebih dulu membuka tirai jaringan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, itu menerusi pemain tengah muda, Muhammad Shamir Rizmi, pada minit ke-32.

UniKL, bagaimanapun, tidak mengalah dan meningkatkan serangan untuk meraih pukulan sudut penalti.

Final TNB Cup 2021 ... Upcoming Fixture #TNBMalaysiaHockeyLeague2021 #TNBMHL2021 #MalaysiaHockeyConfederation #MalaysianHockey #MyHockey

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, March 31, 2021


Juara bertahan itu kemudian menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Muhammad Hafiz Zainol pada minit ke-46 disusuli jaringan kapten, Muhammad Marhan Abd Jalil (m-53), sebelum pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, melengkapkan kemenangan mereka, seminit sebelum siren penamat dibunyikan.

Kemenangan itu bermakna UniKL makin hampir melengkapkan trofi ketiga musim ini selepas Piala Sumbangsih dan kejuaraan liga.

"Saya sangat gembira, bukan sahaja dapat menjaringkan gol malah sekali lagi membawa UniKL ke final.

"Pemain memberikan 100 peratus hari ini," kata Marhan.

Megat Azrafiq pula melabel kemaraan mereka juga dipengaruhi oleh ketenangan mereka kerana perlawanan masih lagi terbuka walaupun menyedari lawan mahu memburu gol.

"Kami perlu terus fokus dan kekalkan taktikal dan tunggu peluang," katanya.

Dalam satu lagi separuh akhir, jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), K Rajan, memuji peningkatan pemain mudanya yang bijak mengambil peluang untuk menjaringkan gol tatkala bintang utama mereka dikawal ketat dalam separuh akhir kedua.

THT menewaskan kelab yang dihimpit masalah kecederaan, Maybank, 2-1 untuk layak ke final menerusi agregat 4-1.

3rd & 4th Placing TNB Cup 2021 ... Upcoming Fixture. #TNBMalaysiaHockeyLeague2021 #TNBMHL2021 #MalaysiaHockeyConfederation #MalaysianHockey #MyHockey

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Thursday, April 1, 2021


"Maybank sudah tidak rugi apa-apa lagi selepas ketinggalan 2-0.

"Sebab itu mereka mengerah kudrat kami, semua pemainnya menampilkan mutu persembahan lebih 100 peratus.

"Apa yang penting dan kami sudah pun membincangkan matlamat untuk mendapatkan jaringan terlebih dahulu," kata Rajan.

Pemain tengah THT yang menyumbangkan tiga gol, Luqmanul Hakim Ahmad Syukran, mengakui mahu merampas gelaran yang kali terakhir dimenangi THT pada 2019 itu.

"Semangat kami memang berkobar-kobar sejak dalam liga lagi.

"Kalau boleh kami mahu bawa pulang Piala TNB ke Terengganu," katanya.