Pemain tenis nombor satu dunia, Andy Murray, terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Rogers selepas membuat keputusan untuk berehat lebih lama bagi memulihkan kecederaan pinggulnya.

Dia mengalami kecederaan tersebut sebelum bermulanya saingan Wimbledon dan ternyata masalah itu membuatkannya terkandas di peringkat suku akhir di tangan Sam Querrey.

Murray telah beraksi di Toronto sejak tahun 2006 kecuali pada tahun lalu kerana mahu fokus kepada saingan Sukan Olimpik Rio 2016 dan bakal berehat sekali lagi pada tahun ini.

“Sedih untuk mengumumkan bahawa saya terpaksa menarik diri kerana saya mempunyai banyak kenangan setiap kali beraksi di Kanada.

“Saya akan melakukan apa yang boleh untuk kembali beraksi segera,” kata Murray.

Turut sama menarik diri adalah pemain Croatia, Marin Cilic, selepas finalis Wimbledon 2017 itu masih belum pulih daripada kecederaan ketika saingan di London itu.

Cilic, yang tewas di tangan Roger Federer di pentas final, terpaksa berehat sementara sambil menyasarkan Terbuka Amerika Syarikat sebagai medan untuk kembali beraksi.

Bulan lalu, bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, mengumumkan akan berehat sehingga hujung tahun 2017 kerana kecederaan siku.