TERENGGANU 2 PAHANG 1

Dalam perlawanan Divisyen 1 Kumpulan B, Piala Razak 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini itu, Terengganu bermula garang apabila menemui sentuhan jaringan padang menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-6 disusuli jaringan pukulan sudut penalti, Mohamad Shazwi Rani, empat minit kemudian.


Muhammad Arif Syafie Ishak, bagaimanapun, merapatkan defisit jaringan melalui pukulan sudut penalti sebelum menutup suku pertama.

Skuad kendalian Mohd Sufian Muhammad itu hampir menyamakan kedudukan tetapi dapat dipatahkan benteng Terengganu dalam suku kedua.

Walaupun saling melakukan asakan, tiada tambahan jaringan dalam dua suku berikutnya.

Dalam satu lagi pertemuan Kumpulan B menyaksikan Kuala Lumpur mempamerkan kebangkitan untuk mengikat Pulau Pinang 3-3 untuk muncul juara kumpulan dengan 7 mata.

Aksi tunggal Kumpulan A di antara Johor dan Melaka berakhir dengan keputusan 5-5 yang menyaksikan masing-masing menamatkan kempen dengan 5 mata dan turut dalam separuh akhir.

Dalam saingan Divisyen 2, Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengukuhkan penguasaan selepas menewaskan Kelantan 3-1.

Dua jaringan Abdul Rauf Mohd Nazri menerusi pukulan sudut penalti membantu kemenangan skuad kendalian S. Prakash itu.

Perlis dan Kedah pula terpaksa berkongsi mata apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 sementara Negeri Sembilan mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas ATM.

Bagi kategori Wanita, Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas ATM hasil jaringan Aina Zafifah Mohd Razali untuk muncul juara kumpulan dengan ATM turut mengekalkan kedudukan kedua untuk mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Melaka mencipta kemenangan 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi aksi Kumpulan B hasil jaringan Nurul Fezah Khalim dan Nur Aisyah Yaacop.

Dalam Kumpulan A, Kuala Lumpur serta PDRM mengesahkan tempat ke separuh akhir susulan kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Jaringan Hazatul Hudzra Abd Razak pada lewat permainan membantu Kuala Lumpur untuk mengatasi Johor 2-1 manakala ATM tidak berdepan kesukaran meskipun terpaksa bangkit dari ketinggalan sebelum tewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 2-1.

Dalam perkembangan lain, penyerang kebangsaan, Faizal Saari, menyumbang gol ketika membantu Malaysia mengikat Korea Selatan 2-2 dalam aksi Siri Persahabatan Jelajah Antarabangsa.