GEORGIA 33 URUGUAY 7

Georgia mencatat kemenangan pertama dalam kempen Kumpulan D, Piala Dunia Ragbi 2019 dengan membenam cabaran Uruguay 33-7 di Stadium Kumagaya, hari ini.


Pasukan di ranking ke-12 dunia itu memperoleh try pertama perlawanan menerusi pemain sayap, Alexander Todua, pada minit kelapan, namun conversion gagal disempurnakan Tedo Abzhandadze.

Bermula daripada gerakan scrum yang memihak Georgia, Otar Giodgadze menyumbang try kedua pada minit ke-29 sebelum conversion pula disempurnakan Abzhandadze untuk skuad bimbingan Milton Haig itu mendahului 12-0.

Uruguay merakamkan try sagu hati pada minit ke-32 menerusi larian deras Andres Vilaseca sambil conversion Filipe Berchesi merapatkan kedudukan kepada 7-12.

Aksi separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan Georgia yang gagal dikekang Uruguay dengan tambahan tiga try lagi serta conversion yang disudahkan Abzhandadze.

Untuk itu, Georgia kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan lima mata.