Ketua jurulatih skuad ragbi Scotland, Gregor Townsend, mempersoalkan mutu pengadilan 'luar biasa' daripada pengadil, Jaco Peyper, yang membantu seteru mereka dalam Kumpulan A, Jepun, memperoleh mata bonus selepas menewaskan Samoa dalam Piala Dunia Ragbi di Stadium Toyota kelmarin.

Skuad kendalian Townsend itu memiliki dua baki perlawanan peringkat kumpulan dengan ketinggalan sembilan mata di belakang pasukan tuan rumah, Jepun, yang akan bertemu mereka dalam perlawanan penentuan dua pasukan teratas, Ahad ini.

Jepun berada di tangga teratas dengan kelebihan tiga mata di depan Ireland selepas try saat-saat akhir Kotaro Matsushima memberikan mereka mata bonus selepas menewaskan Samoa 38-19.

Townsend percaya Jepun, yang berharap dapat mara ke suku akhir buat kali pertama, bernasib baik kerana diberikan penalti pada lewat permainan yang mendorong mereka untuk mendapatkan try keempat.

"Lihat, saya fikir ia adalah keputusan yang luar biasa.

"Ia bukan sesuatu yang dirujuk dan terdapat persetujuan bahawa di sana lebih banyak latitud untuk scrum-half meletakkan bola ke scrum kerana anda adalah pasukan yang telah memenangi scrum.

"Untuk melihatnya dalam Piala Dunia membuatkan saya amat terkejut.

"Untuk melihatnya dalam masa tambahan merupakan kejutan yang lebih besar.

"Ia adalah keputusan yang sudah lama tidak saya saksikan dalam perlawanan," katanya.

Wing Darcy Graham merupakan satu-satunya pemain yang akan dikekalkan dalam skuad Scotland untuk berdepan Russia di Shizouka esok.