AUSTRALIA 45 URUGUAY 10

Australia menghasilkan tujuh try untuk merekodkan kemenangan 45-10 ke atas Uruguay dalam perlawanan Kumpulan D, Piala Dunia Ragbi di Stadium Oita, Jepun hari ini.


Selepas tewas 25-29 kepada Wales hujung minggu lalu, jurulatih Wallabies, Michael Cheika, menampilkan 11 muka berbeza untuk misi wajib menang ke atas Los Teros, yang turut mengambil risiko dengan membariskan pemain yang rata-ratanya di bawah usia 25 tahun.

Bagaimanapun, Jordan Petaia, 19, tampil penuh gemilang dalam penampilan pertamanya bersama skuad utama Australia dengan melakukan try pada minit ke-24.

Terdahulu, Dane Haylett-Petty meraih try pertama Australia pada lima minit pertama sebelum pemain kelahiran Afrika Selatan itu menyumbangkan satu lagi try dalam babak kedua untuk menjadikan kedudukan 45-3.

Menjelang penghujung permainan, Uruguay akhirnya berhasil menambah mata menerusi try Manuel Diana dan conversion Felipe Berchesi.

Dengan keputusan itu, Uruguay terpaksa akur terperosok di dasar kumpulan manakala Australia boleh menghela nafas lega apabila kembali memintas Wales dengan kelebihan dua mata di kedudukan teratas.