ENGLAND 45 AS 7

Eddie Jones berpuas hati dengan permulaan England dalam saingan Piala Dunia Ragbi selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) 45-7 di Stadium Misaki Park, Tokyo semalam.


England meneruskan rekod cemerlang dengan melakar kemenangan dalam saingan peringkat Kumpulan C dengan persembahan cemerlang di Kobe.

George Ford, Billy Vunipola, Luke Cowan-Dickie, Joe Cokanasiga, Ruaridh McConnochie dan Lewis Ludlam antara pemain yang berjaya meraih mata untuk England, dengan AS terpaksa meneruskan saingan dengan 14 pemain apabila John Quill dilayangkan kad merah 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Skuad kendalian Jones itu mendahului saingan kumpulan dengan 10 mata selepas dua perlawanan, dan dengan rehat sembilan hari sebelum perlawanan bertemu Argentina, bekas pengendali Jepun itu tidak memiliki sebarang rungutan terhadap persembahan England, terutama sekali menghadapi bahang dan cuaca lembap di Kobe.

"Kami mahukan 10 mata pada penghujung dua perlawanan dan ini adalah persembahan yang sempurna daripada England," kata Jones.

"Kami telah berusaha sejak permulaan permainan dan mendapatkan jaringan awal tetapi kami terleka dengan ruang yang terbuka dan cuba menggerakkan bola terlalu banyak.

"Dengan cuaca dan suasana di sini, kami berjaya menemui rentak permainan yang baik dalam separuh masa kedua.

"Kami melakukan beberapa kesilapan dan akan memperbaikinya.

"AS terpaksa menamatkan perlawanan dengan 14 pemain dan ia menyukarkan mereka untuk menghalang asakan England."

Ludlam –- diperkenalkan sebagai salah seorang daripada 10 pertukaran oleh Jones -- menampilkan persembahan mengagumkan dan pengendali England itu yakin pemain berusia 23 tauhn itu akan bertambah baik selepas ini.

"Dia merupakan seorang pemain muda yang menakjubkan dan akan bertambah baik selepas ini.

"Dia sangat bertuah kerana beraksi dengan skuad Northampton B 12 bulan yang lalu. Kini dia beraksi dalam Piala Dunia dan dilihat sebagai salah seorang penyerang yang menyerlah."