Rassie Erasmus teruja melihat Afrika Selatan mengatasi tekanan tetapi berkata prestasi ketika menewaskan Itali 49-3 malam tadi bukan persembahan tahap pemenang Piala Dunia.

Skuad The Springboks itu berdepan penyingkiran awal daripada kejohanan sekiranya tewas di tangan Azzurri di Stadium Ecopa Shizuoka semalam, namun kini di landasan terbaik untuk ke suku akhir selepas mencatat kemenangan daripada tujuh try.

Cheslin Kolbe menghasilkan dua pada malam ngeri buat Itali, yang beraksi hampir keseluruhan babak kedua tanpa seorang pemain selepas Andrea Lovotti diperintah keluar padang susulan terjahan bahaya ke atas Duane Vermeulen.

Scrum tidak banyak dicabar dalam perlawanan Kumpulan B itu susulan Itali yang kehilangan Simone Ferrari serta penggantinya, Marco Riccioni, mengalami kecederaan tatkala The Springboks mengungguli kumpulan sambil menunggu cabaran Kanada.

Erasmus teruja dengan sikap yang ditunjukkan pemainnya dalam aksi wajib menang itu tetapi berpendapat mereka perlu meningkatkan prestasi jika mahu menjulang Piala Webb Ellis.

"Ia satu perlawanan getir buat kami. Ia tampak mudah tetapi kami goyah di permulaan permainan. Kami sedikit risau dengan perlawanan ini," kata pengendali Afrika Selatan itu.

"Saya fikir kad merah memberi kesan kepada lawan kerana terdapat detik di mana kami bangkit dalam perlawanan. Saya fikir selepas mereka menerima kad merah, aksi menjadi lebih mudah."

Dia menambah: "Saya rasa pemain kini dalam situasi play-off, pasukan kami faham tekanan dihadapi dan kami menerimanya, sedia untuk menghadapinya dalam tempoh beberapa minggu.

"Saya rasa kami akan membiasakan diri dan kini akan menghadapi cabaran seterusnya. Syabas buat pemain, saya fikir mereka menanganinya dengan baik.

"Saya fikir kami agak bagus. Disiplin kami tidak baik dalam babak pertama, melepaskan enam atau tujuh penalti ketika bertahan tetapi pertahanan agak baik. Secara keseluruhan, saya tidak fikir ia persembahan buruk tetapi bukan tahap pemenang Piala Dunia."