Sam Warburton berpandangan Wales mampu memasang impian untuk mara ke final Piala Dunia Ragbi buat kali pertama jika menewaskan Australia, Ahad ini.

Wales, yang layak ke separuh akhir dua kali, memulakan kempen kali ini dengan penuh bergaya selepas mengatasi Georgia 43-14 dalam aksi Kumpulan D tetapi ujian yang lebih sukar menanti mereka di Tokyo apabila berdepan Australia.

Skuad kendalian Warren Gatland itu menamatkan rentetan 13 perlawanan tanpa sebarang kemenangan ke atas The Wallabies tahun lalu dengan kemenangan 9-6.

Dan Warburton berpandangan pertembungan terbaru mereka itu penting bagi Wales jika mahu melangkah jauh dalam saingan kali ini untuk memastikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara untuk mengelak juara bertahan, New Zealand, atau England sehingga perlawanan final.

"Ini merupakan saingan Piala Dunia yang paling terbuka buat kami," kata Warburton, yang pernah meraih 74 kaps bersama Wales, kepada Omnisport.

"Mereka (Australia) merupakan antara pilihan utama. Australia akan menampilkan persaingan yang sengit dan jika Wales mampu menang ke atas Australia dan menamatkan saingan kumpulan sebgai juara, saya berasakan ia akan meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke final.

"Saya berasakan ini merupakan jalan terbaik Wales untuk ke final.

"Jika tewas, mereka bakal menghadapi ujian getir untuk mengatasi England dan menewaskan New Zealand serta berkemungkinan besar berdepan Affrika Selatan dalam final.

"Perlawanan dengan Australia sangat besar, kedua-dua pasukan menyedari kepentingannya."