Russia mengesahkan tempat ke final Piala Dunia Futsal 2016 selepas menundukkan Iran 4-3 dalam aksi separuh akhir penuh mendebarkan di Coliseo Ivan de Bedout, Medellin, Colombia, hari ini.

Kedua-dua pasukan bermula dengan baik, namun Russia terlebih dahulu merobek gawang Iran melalui rembatan deras Dmitri Lyskov.

Iran menyamakan kedudukan apabila Ahmad Esmaeilpour berjaya mengatasi penjaga gol Russia pada minit ke-16.

Kedua-dua pasukan menggandakan jaringan dalam separuh masa kedua, dengan Russia meraih gol menerusi Sergei Abramov, sebelum Hasan Zadeh membawa Iran mengikat kedudukan kepada 2-2.

Russia menambah dua lagi gol pada minit-minit akhir permainan, masing-masing melalui Vladislav Shayakhmetov dan Ivan Chishkala untuk menjadikan keputusan 4-2.

Iran, bagaimanapun, bangkit pada saat-saat akhir permainan selepas Mahdi Javid menjaringkan satu lagi gol, namun ia tidak cukup untuk menghalang Russia mara ke final.