TNB 2 THT 1

Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul juara Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 selepas menewaskan Kelab Hoki Terengganu (THT) 2-1 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Kehebatan penjaga gol TNB, S. Kumar, menidakkan beberapa percubaan THT, termasuk pukulan penalti Jang Jonghyun, menobatkannya selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Aksi sengit ditampilkan kedua-dua pasukan sejak wisel permulaan dengan masing-masing berusaha mencari gol pendahuluan dalam suku pertama.

TNB dihadiahkan pukulan sudut penalti dalam tempoh itu, namun kelebihan tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Aksi semakin rancak dalam suku kedua dengan deretan pukulan sudut penalti diperoleh kedua-dua pasukan.

TNB berpeluang membuka jaringan menerusi gerakan itu, namun flik yang dilakukan Firhan Ashaari sedikit melepasi palang gol lawan.

THT turut dihidangkan peluang sama tidak lama selepas itu.

Bagaimanapun, mereka gagal memanfaatkan tiga pukulan sudut penalti yang diberikan.

THT terus menggandakan asakan dalam suku ketiga, namun ketangkasan Kumar menafikan usaha itu.

Kesilapan penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman, dalam suku keempat memberikan pukulan penalti kepada TNB dan Syed Syafiq Syed Cholan mudah menyempurnakan jaringan itu.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila THT bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan padang Muhammad Rashid Baharom pada minit ke-48.

Kekalutan di depan gawang THT pada penghujung perlawanan dimanfaatkan sepenuhnya Mohamad Akhimullah Anuar Esook untuk menjaringkan gol kemenangan TNB.

"TNB merupakan pasukan yang muda.

"Sebagai pemain berpengalaman, saya perlu menyusun barisan pemain muda ini dari bawah.

"Saya perlu membantu mereka mengekalkan ketenangan sepanjang perlawanan.

"Akhirnya, kami berjaya meraih kemenangan selepas tiga musim menanti.

"Dengan barisan pemain muda seperti itu, satu gelaran yang diraih ini sudah cukup baik bagi saya," kata Kumar.