Skuad ragbi Terengganu bertekad memanfaatkan kelebihan selaku tuan rumah dalam perlawanan separuh akhir Piala Agong menentang Kedah di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak, petang ini.

Menurut pengurus Terengganu, Amirul Mukmin Sulaiman, pertemuan itu pasti berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan kini berada pada kemuncak prestasi selepas menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik.

Katanya, beraksi di halaman sendiri perlu dijadikan tonik tambahan Terengganu yang akan turut disertai Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Selepas melepasi peringkat kumpulan dan suku akhir, saya berharap pemain mengekalkan rentak serta momentum kemenangan, seterusnya memburu slot ke pentas akhir.

“Sokongan penyokong pasukan ragbi Terengganu juga diperlukan kerana saingan separuh akhir dan akhir akan berlangsung di sini,” kata Amirul.

Tambahnya lagi, sentuhan barisan kejurulatih diketuai Khairizal Ali sentiasa diberi kepercayaan untuk merencana strategi terbaik memerangkap Kedah yang dibimbing Wan Norsyahmi Wan Daud.

Terengganu mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Kelantan 43-26 pada peringkat suku akhir di Petaling Jaya, Isnin lalu.

Perlawanan separuh akhir Terengganu-Kedah akan berlangsung jam 2.30 petang ini, sebelum satu lagi aksi berikutnya menemukan Johor dan Perak di gelanggang sama.