Skuad wanita Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong yang dimenangi dalam edisi lalu selepas mudah menundukkan cabaran Segamat 76-43 di Stadium MABA, sebentar tadi.

Ulangan final edisi lalu itu menyaksikan Negeri Sembilan membuktikan keunggulan sejurus selepas wisel permulaan dan Juara bertahan itu nyata bukan tandingan buat lawan mereka apabila mendahului 16-4 sebelum menamatkan 15 minit pertama 21-11.

Suku kedua menyaksikan Segamat memperkemaskan permainan dan bermula dengan agresif untuk meraih jaringan tetapi rentak baik itu tidak bertahan lama tatkala Negeri Sembilan melancarkan serangan bertubi-tubi menerusi ayam tambatan, Fook Yee Yap, yang cemerlang menjadi penjaring terbanyak buat pasukannya.

Negeri Sembilan bimbingan Lee Kheng Tian itu terus memimpin perlawanan dalam suku ketiga untuk meraih pendahuluan selesa 68-32 dan walaupun Segamat lebih cemerlang meraih 11 mata dalam suku seterusnya, ia masih tidak cukup mengekang juara bertahan itu daripada merekodkan kemenangan 76 43 sekali gus dijulang juara edisi 2019.