Persatuan Hoki Perak (PHP) mencadangkan agar beberapa perkara dalam perlembagaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dipinda dalam kongresnya tidak lama lagi bagi memantapkan perjalanan persatuan itu.

Perlembagaan yang mahu dipinda ialah Artikel 24 (Terma) Fasal 1 dan Fasal 2 serta Artikel 25 (Kuasa Lembaga Eksekutif) dan Artikel 28 (Tambahan fungsi dan kuasa).

Semua perlembagaan itu dipinda pada 23 Mac 2015 dan diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan pada 5 Mei tahun yang sama.

Presiden PHP, Datuk Azhar Ahmad, berpendapat tempoh presiden memegang jawatan perlu dipendekkan daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun serta mereka yang dilantik tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan yang lain.

Beliau menjelaskan cadangan itu bertujuan meningkatkan keberkesanan kepimpinan seseorang pemimpin.

"Tempoh empat tahun terlalu lama. Ia membuat seseorang pemimpin leka dan hanya bekerja dalam sesi akhir tempoh kepimpinan," ujar Azhar.

"Sebaliknya, jika hanya tiga tahun, dia kena bekerja daripada mula memegang jawatan hingga habis."

Azhar juga menjelaskan mengenai cadangan supaya presiden KHM tidak memegang jawatan dalam persatuan lain agar dapat memberi tumpuan khusus kepada tugasnya.

Beliau berkata cadangan terhadap Artikel 25 dan 28 dibuat bertujuan mengembalikan kuasa persatuan negeri kerana setakat ini semua keputusan dibuat oleh Lembaga Eksekutif yang dilantik oleh presiden.

"Ini cadangan PHP. Terpulang kepada persatuan hoki negeri lain sama ada menyokongnya atau tidak," tambah Azhar.