Impian Malaysia untuk menambah koleksi emas dalam acara petanque tiga sepasukan wanita tidak kesampaian apabila dikecewakan Laos dalam perlawanan akhir.

Malaysia dalam motivasi yang baik selepas menumpaskan Vietnam 13-5 dalam aksi separuh akhir.

Menurunkan trio Nur Farah Hana Musa, Nur Iman Aina Ahmad serta Nurashimah Senin, Malaysia bermula baik dengan membuat beberapa balingan berkualiti.

Bagaimanapun, selepas mendahului 8-5, Malaysia seakan-akan terlalu selesa, sekaligus membuka peluang buat Laos segera bangkit dan mengatur strategi baru untuk mengejar.

Percaturan Sisavath Chindavone, Souksavat Khoun serta Mimee Vonsavath mula menjadi dan akhirnya menewaskan Malaysia untuk meraih emas.

Pingat gangsa dikongsi Vietnam dan Thailand.

"Tiada masalah dalam strategi kami, kami telah cuba memberikan yang terbaik. Tetapi bukan rezeki kami untuk meraih emas.

"Kami akan cuba lebih baik lagi dalam Sukan SEA akan datang," kata Farah.

Sementara itu, Nur Aiman mengakui terkejut dengan kebangkitan yang dipamerkan pihak lawan ketika skuad negara mendahului perlawanan.

"Kami agak terkejut kerana Laos berjaya melakukan balingan yang meraih enam mata, sekaligus memintas kami," kata Nur Aiman.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.