Muhammad Hafizuddin Mat Daud meraih pingat emas perseorangan lelaki petanque Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menewaskan wakil dari Thailand, Kiatkong Tanong, 13-7, hari ini.

Selepas berjaya mengetepikan juara dunia 2017 dari Kemboja, Sok Chan Mean, dalam aksi separuh akhir, Hafizuddin meneruskan rentak kemenangan dalam final yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur.



Kemenangan ini menyaksikan Hafizuddin mempertahankan kejuaraannya dalam temasya di Singapura dua tahun lalu.

"Pingat emas ini amat bermakna bagi saya. Kejayaan ini adalah untuk rakyat Malaysia, ayah dan jurulatih saya.

"Begitu juga untuk isteri saya yang dijangka melahirkan anak pada November ini," kata Hafizuddin.

Sementara itu, ketua jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed, memuji ketenangan yang dimiliki Hafizuddin biarpun pada suatu ketika, dia sendiri cemas dengan kedudukan semasa.

"Saya anggap Hafizuddin seperti anak sendiri. Bermain di tanah air dan semangat demi negara menjadi pendorong buat kami.

"Pada kedudukan 10-7, saya berasa agak cemas seketika kerana Thailand mula mengejar kedudukan tetapi, kami tetap percaya dengan ketenangan yang Hafizuddin ada," ujar Zani.

Sementara itu, Malaysia meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan wanita menerusi Suhartisera Zamri.Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.