Pesilat negara terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memberi fokus kepada perguruan di Gunung Da Lat, Vietnam selama 18 hari, bermula hari ini.

Tiada istilah raya buat barisan pesilat negara untuk tahun ini memandangkan mereka perlu bersiap siaga menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Seperti diumumkan oleh Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, latihan pusat selama 18 hari di Vietnam adalah bagi menguji ketahanan mental pesilat.

"Saya begitu bersemangat untuk melakukan latihan, cuma kami tak tahu fizikal kami ini sampai tahap mana. Jadi itulah tujuannya program di Vietnam nanti," kata pesilat negara, Al-Jufferi Jamari.

"Sayu sedikit kerana tiada sambutan hari raya tetapi tiada masalah, Insya-Allah. Memandangkan Sukan SEA pun sudah dekat, maka saya tidak memikirkan sangat tentang raya," kata Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Dengan sasaran lapan pingat emas ditetapkan oleh Pesaka, ia satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh barisan pesilat negara untuk merealisasikannnya.

Skuad negara mempunyai reputasi yang baik sepanjang tahun ini, antaranya muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Silat Asia Tenggara pada Mac lalu dengan meraih sembilan emas, tiga perak dan empat gangsa.