Meskipun tiada kelibat peserta negara dalam kategori profesional Ironman Langkawi 2016, ia tetap sengit dengan kehadiran beberapa nama besar, termasuk juara bertahan kategori profesional wanita, Diana Riesleer.

Diana merupakan juara dua edisi berturut-turut saingan Ironman Langkawi sejak tahun 2014.

Hadir dengan status juara bertahan, Diana menjangkakan saingan akan lebih sengit dengan kehadiran beberapa pencabar utama seperti Li Shioa-Yu dari Taiwan dan juga Mareen Hufe (Jerman).

Secara tidak langsung, misinya untuk meraih kejuaraan hatrik di Langkawi dilihat sukar, ditambah pula dengan cuaca di Langkawi kini dalam keadaan tidak menentu.

"Bukan mudah kerana pencabar lain teruja untuk menewaskan saya.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah memberikan aksi terbaik untuk mencatatkan hatrik," kata Diana.

Dalam pada itu, saingan kategori lelaki profesional juga tidak kurang hebatnya dengan kelibat pemenang kedua dan ketiga tahun lalu, Frederick Croneborg dan Harry Wiltshire turut mengambil bahagian.

Enggan lagi berputih mata, Croneborg giat menjalani latihan di Phuket, Thailand, bagi menghadapi edisi Ironman Langkawi 2016.

Wiltshire pula baru sahaja menjuarai Ironman Weymouth pada September lalu. Untuk itu, dia mengharapkan dapat meneruskan momentum kemenangannya di Langkawi.

"Pada tahun ini, saya berjaya muncul di tempat kedua sebanyak dua kali.

"Dengan cuaca panas di sini yang hampir sama dengan di Phuket, ia sangat sesuai buat saya.

"Saya sememangnya teruja untuk menyertai kejohanan ini pada tahun ini. Dengan hari kejohanan yang semakin dekat, saya harap dapat mempersiapkan diri dan memenangi kejohanan kali ini," kata Croneborg.

Bagi Wiltshire pula, "Saya berasakan kejohanan kali ini agak berbeza. Pada tahun lepas, kami saling mencabar hebat semasa di peringkat larian, tapi untuk tahun ini, saya mendapati kehadiran ramai penunggang basikal yang hebat-hebat."