Melazimi tradisi acara WWE Survivor Series seperti tahun-tahun lalu, sekali lagi WWE Universe dihidangkan dengan pertemuan juara lawan juara di acara yang bersiaran secara langsung di Barclay’s Centre, New York pagi tadi.

Kali ini Juara WWE Big E dari jenama Raw dipertemukan dengan Juara Universal yang masih kukuh mendominasi jenama Smackdown iaitu Roman Reigns di kemuncak acara. Dendam yang terbuku di dada Big E kerana rakannya King Woods dibelasah teruk oleh The Bloodlines di acara Smackdown yang lalu dibawa dalam perlawanan ini membuatkan Juara WWE itu mampu menguasai minit-minit awal perlawanan.

Kedua-dua bintang powerhouse ini saling berbalas serangan dan Big E mula melakukan kesilapan apabila cubaannya untuk menghempap badan Roman di tubir gelanggang tidak mengena, menyebabkan pendaratan itu menatijahkan kecederaan di bahagian lutut kanannya.

Kesempatan ini diambil Roman dengan terus melakukan asakan demi asakan terhadap Big E. Tiga tumbukan layang Superman juga berjaya dilaksanakan ke atas Big E. Namun Big E seakan mendapat semangat baharu apabila serangan bertali arus itu seakan kembali memberikan kekuatan kepadanya. Roman menerima hukuman dengan dihentam ke setiap penjuru gelanggang.

Gerakan penyudah Big Ending akhirnya berjaya dilunaskan. Namun sayang sekali kedudukan tindanan pin ke atas Roman ketika itu amat tidak strategik kerana terlalu hampir pada tali menyebabkan Roman mudah mematahkan kiraan pengadil. Serangan ke atas lutut Big E yang tercedera diteruskan sehingga akhirnya satu rempuhan bahu yang cukup padu berjaya dilancarkan Roman, selajur menyebabkan Big E terus terkulai tidak berdaya dan tidak mampu untuk mengesampingkan tindanan Roman ke atasnya.

Kemenangan Roman ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Juara Universal WWE dengan menyandang kejuaraan tersebut selama 488 hari. Satu rekod yang begitu mengagumkan dan membuatkan WWE Universe terus tertanya-tanya siapakah individu yang mampu untuk menghentikan dominasi itu.

Keputusan lain perlawanan di Survivor Series:
1. Juara Amerika Syarikat Damien Priest tewas secara DQ kepada Juara Antara Benua Shinsuke Nakamura (Priest menggunakan gitar Rick Boogs sebagai senjata ke atas Nakamura)
2. Juara Wanita Raw Becky Lynch tumpaskan Juara Wanita Smackdown Charlotte Flair
*insert pic 3
3. Team Raw menampilkan Bobby Lashley, Austin Theory, Finn Balor, Kevin Owens & Seth Rollins) tewaskan Team Smackdown yang dibarisi Drew McIntyre, Jeff Hardy, King Xavier Woods, Happy Baron Corbin & Sheamus (Seth Rollins menjadi sole survivor dengan menumbangkan Jeff Hardy)
4. Omos mengungguli perlawanan 25-Men Dual Branded Battle Royal untuk memperingati ulangtahun ke 25 kemunculan The Rock di WWE
5. Juara Beregu Raw RK-Bro kalahkan Juara Beregu Smackdown The Usos
6. Team Raw diwakili Bianca Belair, Liv Morgan, Carmella, Zelina Vega & Rhea Ripley tewaskan Team Smackdown yang dianggotai Sasha Banks, Shotzi, Natalya, Shayna Baszler dan Toni Storm (Bianca Belair menjadi sole survivor)

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.